Saturday 11 August 2012

Suasana Kampung di Pulau Tuba


Anda tahu tak yang Langkawi sebenarnya mempunyai 99 buah pulau? Dan hanya 3 daripadanya yang ada penduduk, iaitu Pulau Langkawi (biasa org tempatan panggil Pulau Besar), Pulau Tuba & Pulau Dayang Bunting. Pulau Langkawi memang dah terkenal di serata dunia, kalau pelancong luar datang ke Malaysia, antara tempat-tempat yang wajib mereka datang ialah Kuala Lumpur & Pulau Langkawi. Sayang sekali kemasyuran Langkawi tu tak sampai ke 'adik-adik' nya iaitu Tuba dan Dayang Bunting. Kebanjiran pelancong setiap minggu di Langkawi tak dapat dirasa oleh penduduk di Tuba dan Dayang Bunting, sedangkan ianya dibawah satu kawasan. Penduduk di Pulau Tuba bermukimkan Kuah, sebuah pekan di Pulau Besar Langkawi, meskipun mereka dipisahkan oleh lautan yang luas.

Maklumat mengenai Pulau Tuba (PT) & Pulau Dayang Bunting (PDB) memang sangat sedikit dalam internet. Seolah-olah dua kawasan ini sangat terpencil. Pengalaman terlibat dalam mengumpul data bagi satu penyelidikan membawa saya dan rakan-rakan ke dua buah pulau ini. Untuk sampai ke Pulau Tuba, perlu mengambil feri untuk ke Langkawi, sama ada dari Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Tambang feri adalah RM 18 jika dari Kuala Perlis. Bila dah sampai di jeti Langkawi, ambil bot ke Pulau Tuba, tiketnya RM 5. Menaiki bot laju ini akan memberi satu pengalaman yang berbeza dimana kita berpeluang menikmati pemandangan indah tanpa dibatasi cermin seperti di dalam feri.

Perjalanan menaiki bot laju mengambil masa antara 15-20 minit untuk sampai ke Pulau Tuba. Sampai sahaja di sana, anda akan terpegun melihat airnya yang berwarna hijau serta pemandangan yang indah. Di jeti pulau ini kebiasaannya akan ada van sewa yang membawa penumpang ke tempat yang dikehendaki. Bayaran bagi seorang menaiki van tersebut ialah RM4. Jika anda telah menempah ‘homestay’ di sini, anda tidak perlu risau kerana kebiasaannya pemilik homestay tersebut sendiri akan menunggu anda di jeti. Jika tidak, anda hanya perlu menyebut sahaja nama pemilik tersebut kepada pemandu van, insyaAllah anda akan dihantar ke tempat yang betul kerana penduduk di sini saling mengenali antara satu sama lain.




Pemandangan pertama yang menyambut anda ketika sampai di Pulau Tuba











 Di jeti Pulau Tuba 









Anda boleh menyewa motor bagi memudahkan anda bersiar-siar di sekitar kampung. Harga sebiji motor adalah RM 15 sehari. Ini juga anda boleh suruh pemilik ‘homestay’ booking dulu. Jika anda rajin menjelajah di sekitar kampung-kampung di pulau ini, anda akan berpeluang untuk sampai ke kawasan pinggiran pantai yang indah, dimana jarang untuk anda temui jika anda pergi ke pantai-pantai peranginan yang lain. Ini kerana pantai-pantai di sini masih lagi ‘suci’, tidak dicemari oleh pembangunan mahupun pengunjung yang ramai.  Namun begitu, kebanyakan pantai ini terletak di tempat yang ‘tersembunyi’ dimana anda perlu berani untuk meredah jalan-jalan kecil. Tersembunyi yang saya maksudkan bukanlah melibatkan alam ghaib ye, tetapi di hujung-hujung kampung. Memandangkan kawasan ini masih belum membangun, jadi masih banyak hutan-hutan yang belum ditebang. Tetapi anda tidak perlu takut kerana akan ada rumah penduduk kampung di sekitar hutan-hutan itu. Anda hanya perlu rajin bertanya. Jika anda rajin bertanya, jalan yang bakal anda tempuhi akan menjadi lebih mudah.





Antara pemandangan yang bakal anda nikmati ketika menjelajah ke kampung-kampung.







Pemandangan di Kg.Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting.









Pemandangan di jeti Kg. Selat Bagan Asam, Pulau Tuba.








Untuk pengetahuan anda juga, Pulau Tuba terdiri daripada beberapa buah kampung. Penduduk kampung majoritinya bekerja sebagai nelayan. Ada juga yang mengusahakan sawah serta kebun getah. Anda tidak akan rugi bertandang ke sini kerana bukan sahaja anda akan dihidangkan dengan pemandangan yang indah serta suasana yang tenang, anda juga dapat membeli makanan laut yang segar dengan harga yang lebih murah berbanding di bandar. Selain itu, penduduk di sini juga ramah tamah dan sangat mengalu-alukan tetamu yang datang berkunjung.



  Bendang sawah yang berlatar belakangkan gunung-ganang.


Lawatan anda ke pulau ini adalah sangat berbaloi. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mencintai alam semulajadi dan rindukan suasana kampung. Berada di homestay milik penduduk kampung akan membuatkan anda benar-benar merasai perasaan menjadi orang kampung. Tetapi jangan pula membayangkan fasilitinya setaraf hotel kerana penduduk di sini mengeluarkan wang mereka sendiri bagi menyediakan kelengkapan bagi penginapan pengunjung. Cukuplah anda membayangkan berada di sebuah rumah kampung. Namun begitu, anda tidak perlu risau kerana tuan rumah akan sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk anda. 

Perlu diingat yang homestay di sini berkonsepkan tinggal sebumbung dengan penduduk kampung dimana mereka bertanggungjawab menyediakan penginapan dan makanan anda. Jadi anda tidak perlu risau mengenai makanan kerana ia disertakan di dalam pakej percutian anda. Pakej bagi seorang bagi sehari semalam ialah RM50. Dengan harga tersebut, anda akan dihidangkan dengan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan  makan malam. Namun begitu, jika anda bercadang untuk datang dalam satu kumpulan yang besar ataupun untuk tinggal melebihi tiga hari, anda boleh berunding dengan pemilik homestay tentang jumlah bayaran. Anda juga boleh berunding untuk menjalankan apa-apa aktiviti yang anda ingini seperti memancing, barbeque, berkelah dan macam-macam lagi.



Lauk pauk yang dihidangkan. Sotong sambal,ketam,ikan masin,ikan goreng,ikan masak gulai dan sambal belacan.


Sememangya pulau ini merupakan satu destinasi baru yang patut anda terokai. Ianya sangat sesuai untuk dikunjungi terutamanya pelajar-pelajar sekolah dan universiti yang ingin membuat program anak angkat.  Anda tidak akan  menyesal kerana anda akan dilayan seperti ahli keluarga sendiri oleh pemilik homestay serta penduduk kampung. Untuk pengetahuan anda lagi, pulau ini juga pernah dikunjungi oleh kumpulan Estranged dalam kembara mereka bersama satu program RTM (saya dah lupa nama programnya). Senang cerita, anda datang dan rasai sendiri semua pengalaman diatas. 

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh bertanya terus kepada saya dengan menghantar emel ke hizan_nhsa.6223@yahoo.com. Di sini juga saya sertakan nombor telefon pemilik homestay tempat dimana saya tinggal ketika saya berada di sana. Che Ropian/Kak Yan/Makcik Yan – 0134331795. Beliau seorang yang sangat baik dan akan menganggap anda seperti anak sendiri.


Jangan lupa masukkan pulau ini dalam senarai destinasi percutian anda. Percayalah, anda tidak akan menyesal!


P/S: Memandangkan saya datang atas urusan kerja, saya tidak berkesempatan untuk mengambil banyak gambar yang menarik. InsyaAllah, saya sendiri akan berkunjung semula ke sini pada bulan September nanti untuk bercuti. Saya akan upload kan gambar-gambar yang lebih menarik selepas saya pulang dari percutian saya ke sana.



Pemandangan dari atas jambatan yang menghubungkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting




Selain dari mengusahakan homestay, Makcik Yan juga pandai membuat kraftangan seperti bakul yang diperbuat daripada surat khabar. Jika anda berminat untuk memilikinya, anda juga boleh menghubungi beliau. Harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan.



Gambar Makcik Yan (bertudung oren) serta adik beliau, Makcik Syam (bertudung biru) ketika menghantar kami pulang. Makcik Syam tinggal bersebelahan rumah makcikYan dan turut mengusahakan homestay.

No comments:

Post a Comment