Anda
tahu tak yang Langkawi sebenarnya mempunyai 99 buah pulau? Dan hanya 3
daripadanya yang ada penduduk, iaitu Pulau Langkawi (biasa org tempatan panggil
Pulau Besar), Pulau Tuba & Pulau Dayang Bunting. Pulau Langkawi memang dah
terkenal di serata dunia, kalau pelancong luar datang ke Malaysia, antara
tempat-tempat yang wajib mereka datang ialah Kuala Lumpur & Pulau Langkawi.
Sayang sekali kemasyuran Langkawi tu tak sampai ke 'adik-adik' nya iaitu Tuba
dan Dayang Bunting. Kebanjiran pelancong setiap minggu di Langkawi tak dapat
dirasa oleh penduduk di Tuba dan Dayang Bunting, sedangkan ianya dibawah satu
kawasan. Penduduk di Pulau Tuba bermukimkan Kuah, sebuah pekan di Pulau Besar
Langkawi, meskipun mereka dipisahkan oleh lautan yang luas.
Maklumat mengenai
Pulau Tuba (PT) & Pulau Dayang Bunting (PDB) memang sangat sedikit dalam
internet. Seolah-olah dua kawasan ini sangat terpencil. Pengalaman terlibat
dalam mengumpul data bagi satu penyelidikan membawa saya dan rakan-rakan ke dua
buah pulau ini. Untuk sampai ke Pulau Tuba, perlu mengambil feri untuk ke
Langkawi, sama ada dari Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Tambang feri adalah RM
18 jika dari Kuala Perlis. Bila dah sampai di jeti Langkawi, ambil bot ke Pulau
Tuba, tiketnya RM 5. Menaiki bot laju ini akan memberi satu pengalaman yang
berbeza dimana kita berpeluang menikmati pemandangan indah tanpa dibatasi
cermin seperti di dalam feri.
Perjalanan menaiki
bot laju mengambil masa antara 15-20 minit untuk sampai ke Pulau Tuba. Sampai
sahaja di sana, anda akan terpegun melihat airnya yang berwarna hijau serta
pemandangan yang indah. Di jeti pulau ini kebiasaannya akan ada van sewa yang
membawa penumpang ke tempat yang dikehendaki. Bayaran bagi seorang menaiki van
tersebut ialah RM4. Jika anda telah menempah ‘homestay’ di sini, anda tidak
perlu risau kerana kebiasaannya pemilik homestay tersebut sendiri akan menunggu
anda di jeti. Jika tidak, anda hanya perlu menyebut sahaja nama pemilik
tersebut kepada pemandu van, insyaAllah anda akan dihantar ke tempat yang betul
kerana penduduk di sini saling mengenali antara satu sama lain.
Pemandangan pertama yang menyambut anda ketika sampai
di Pulau Tuba
Di
jeti Pulau Tuba
Anda boleh
menyewa motor bagi memudahkan anda bersiar-siar di sekitar kampung. Harga sebiji
motor adalah RM 15 sehari. Ini juga anda boleh suruh pemilik ‘homestay’ booking dulu. Jika anda rajin menjelajah
di sekitar kampung-kampung di pulau ini, anda akan berpeluang untuk sampai ke
kawasan pinggiran pantai yang indah, dimana jarang untuk anda temui jika anda
pergi ke pantai-pantai peranginan yang lain. Ini kerana pantai-pantai di sini
masih lagi ‘suci’, tidak dicemari oleh pembangunan mahupun pengunjung yang
ramai. Namun begitu, kebanyakan pantai
ini terletak di tempat yang ‘tersembunyi’ dimana anda perlu berani untuk
meredah jalan-jalan kecil. Tersembunyi yang saya maksudkan bukanlah melibatkan
alam ghaib ye, tetapi di hujung-hujung kampung. Memandangkan kawasan ini masih
belum membangun, jadi masih banyak hutan-hutan yang belum ditebang. Tetapi anda
tidak perlu takut kerana akan ada rumah penduduk kampung di sekitar hutan-hutan
itu. Anda hanya perlu rajin bertanya. Jika anda rajin bertanya, jalan yang
bakal anda tempuhi akan menjadi lebih mudah.
Antara
pemandangan yang bakal anda nikmati ketika menjelajah ke kampung-kampung.
Pemandangan
di Kg.Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting.
Pemandangan
di jeti Kg. Selat Bagan Asam, Pulau Tuba.
Untuk
pengetahuan anda juga, Pulau Tuba terdiri daripada beberapa buah kampung.
Penduduk kampung majoritinya bekerja sebagai nelayan. Ada juga yang
mengusahakan sawah serta kebun getah. Anda tidak akan rugi bertandang ke sini
kerana bukan sahaja anda akan dihidangkan dengan pemandangan yang indah serta
suasana yang tenang, anda juga dapat membeli makanan laut yang segar dengan
harga yang lebih murah berbanding di bandar. Selain itu, penduduk di sini juga
ramah tamah dan sangat mengalu-alukan tetamu yang datang berkunjung.
Bendang
sawah yang berlatar belakangkan gunung-ganang.
Lawatan anda
ke pulau ini adalah sangat berbaloi. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang
mencintai alam semulajadi dan rindukan suasana kampung. Berada di homestay
milik penduduk kampung akan membuatkan anda benar-benar merasai perasaan
menjadi orang kampung. Tetapi jangan pula membayangkan fasilitinya setaraf
hotel kerana penduduk di sini mengeluarkan wang mereka sendiri bagi menyediakan
kelengkapan bagi penginapan pengunjung. Cukuplah anda membayangkan berada di
sebuah rumah kampung. Namun begitu, anda tidak perlu risau kerana tuan rumah
akan sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk anda.
Perlu
diingat yang homestay di sini berkonsepkan tinggal sebumbung dengan penduduk
kampung dimana mereka bertanggungjawab menyediakan penginapan dan makanan anda.
Jadi anda tidak perlu risau mengenai makanan kerana ia disertakan di dalam
pakej percutian anda. Pakej bagi seorang bagi sehari semalam ialah RM50. Dengan
harga tersebut, anda akan dihidangkan dengan sarapan pagi, makan tengahari,
minum petang dan makan malam. Namun
begitu, jika anda bercadang untuk datang dalam satu kumpulan yang besar ataupun
untuk tinggal melebihi tiga hari, anda boleh berunding dengan pemilik homestay
tentang jumlah bayaran. Anda juga boleh berunding untuk menjalankan apa-apa
aktiviti yang anda ingini seperti memancing, barbeque, berkelah dan macam-macam
lagi.
Lauk
pauk yang dihidangkan. Sotong sambal,ketam,ikan masin,ikan goreng,ikan
masak gulai dan sambal belacan.
Sememangya
pulau ini merupakan satu destinasi baru yang patut anda terokai. Ianya sangat
sesuai untuk dikunjungi terutamanya pelajar-pelajar sekolah dan universiti yang
ingin membuat program anak angkat. Anda
tidak akan menyesal kerana anda akan
dilayan seperti ahli keluarga sendiri oleh pemilik homestay serta penduduk kampung.
Untuk pengetahuan anda lagi, pulau ini juga pernah dikunjungi oleh kumpulan
Estranged dalam kembara mereka bersama satu program RTM (saya dah lupa nama
programnya). Senang cerita, anda datang dan rasai sendiri semua pengalaman
diatas.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh bertanya terus
kepada saya dengan menghantar emel ke hizan_nhsa.6223@yahoo.com. Di sini
juga saya sertakan nombor telefon pemilik homestay tempat dimana saya tinggal
ketika saya berada di sana. Che Ropian/Kak Yan/Makcik Yan – 0134331795. Beliau
seorang yang sangat baik dan akan menganggap anda seperti anak sendiri.
Jangan lupa
masukkan pulau ini dalam senarai destinasi percutian anda. Percayalah, anda
tidak akan menyesal!
P/S:
Memandangkan saya datang atas urusan kerja, saya tidak berkesempatan untuk
mengambil banyak gambar yang menarik. InsyaAllah, saya sendiri akan berkunjung
semula ke sini pada bulan September nanti untuk bercuti. Saya akan upload kan
gambar-gambar yang lebih menarik selepas saya pulang dari percutian saya ke
sana.
Pemandangan
dari atas jambatan yang menghubungkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting
Selain
dari mengusahakan homestay, Makcik Yan juga pandai membuat kraftangan seperti
bakul yang diperbuat daripada surat khabar. Jika anda berminat untuk
memilikinya, anda juga boleh menghubungi beliau. Harga yang ditawarkan adalah
sangat berpatutan.
Gambar
Makcik Yan (bertudung oren) serta adik beliau, Makcik Syam (bertudung biru)
ketika menghantar kami pulang. Makcik Syam tinggal bersebelahan rumah makcikYan
dan turut mengusahakan homestay.